Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Dialog Bersama Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di Uitm Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai bukti dan sedia menjawab semua tuduhannya mengenai salah laku Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun lalu.

Anwar berkata, beliau tidak berniat untuk bertelagah dengan bekas Perdana Menteri itu sambil mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mendedahkan tentang kekayaan dimiliki Dr Mahathir dan keluarganya.

“Saya tak mahu gaduh, saya jawab, dia minta bukti, saya akan bagi bukti, tak ada masalah.

“Yang awak nak saya gaduh dengan Mahathir lagi pasal apa, susahlah,” katanya semasa sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Dr Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri untuk menarik balik kenyataannya yang didakwa terdapat unsur fitnah.

Dr Mahathir berkata, notis tuntutan yang dibuat pada 27 Mac lalu menuntut Anwar menarik balik kenyataan itu dan sekiranya gagal, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Pada 18 Mac lalu, Anwar dilapor menyelar sikap seorang bekas pemimpin yang dilihat mengeluh dengan nasib orang Melayu dan mendakwa mereka tertindas di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Walaupun Anwar tidak menamakan pemimpin terbabit, namun beliau memberi gambaran dengan angka ’22 tahun dan 22 bulan’ yang merujuk kepada tempoh pentadbiran.

Kenyataan Anwar yang juga Presiden PKR itu turut menyentuh mengenai individu berkenaan membolot harta bagi keluarga dan anak-anaknya.

Dalam pada itu, walaupun Anwar membuat beberapa tuduhan, namun beliau tidak menafikan prestasi baik semasa pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini.

“Mengenai Tun M ini jangan bimbang, tak apalah saya susah cakap pentadbiran ada baiknya juga, tetapi masalahnya kerosakan diberikan banyak, sistemnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut membidas sikap Dr Mahathir yang berulang kali memburukkan orang Melayu dengan melabelkan mereka sebagai bangsa yang pemalas dan mudah lupa.

“Kalau bercakap soal Melayu, Melayu ini malas, Melayu ini tak reti terima kasih, mudah lupa, semua negatif betul ke budaya Melayu begitu,

“Tak betul, bangsa mana tak ada yang malas, semua bangsa ada, bangsa mana yang mudah lupa, semua bangsa ada lupa.

“Tetapi Melayu telah melahirkan tokoh-tokoh besar pemikir besar, sarjana besar ada, begitu juga China, India, Dayak dan Kadazan, tapi jangan menghina,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. dulu sebelum umno jadi sarkes pon kau cakap kau ade bukti…tapi betul kot kau memang ada bukti,bukti yang kau ni kaki kencing…yg dah terhancing dgn kencing kau je yg tak percaya yg kau kaki kencing

Comments are closed.