Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR –  Polis telah menumpaskan skim penipuan pelaburan Planetrade dengan penahanan tiga lelaki dan enam wanita tempatan termasuk seorang pengarah syarikat yang mengendalikan skim berkenaan.

Suspek utama didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Manakala seorang lagi suspek yang merupakan pengarah syarikat mengendalikan skim pelaburan itu didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Tujuh lagi suspek ahli sindiket itu telah dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan kes di mahkamah, kata Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman menerima sebanyak 92 laporan polis berkaitan skim penipuan pelaburan “Planetrade” sejak Januari 2021 sehingga kini dengan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM17,547,414.50.

Noorsiah berkata, pada tahun 2022 , seramai sembilan orang terdiri daripada tiga lelaki dan enam perempuan warga tempatan yang terlibat dalam skim pelaburan terbabit telah berjaya digempur dan ditahan polis.

Artikel berkaitan: Penipuan pelaburan Planetrade: ‘Datuk Seri’ antara sembilan individu ditahan

Mangsa pelaburan Planetrade jangan takut buat laporan polis – MHO

Siasatan PDRM di bawah Sekyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 berjaya membekukan aset-aset yang merangkumi 27 akaun bank dengan nilai keseluruhan berjumlah RM700,533.47;enam kenderaan bernilai RM1.165 juta dan 11,000,000 unit saham di empat buah syarikat yang berkaitan.

“Dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan ini, siasatan dalam kes ini telah dijalankan secara terperinci dan menyeluruh.

“Kesemua suspek yang ditahan mempunyai penglibatan dan berperanan sama ada menguruskan, mengendalikan dan mempromosikan skim penipuan tersebut.

“Antara suspek yang ditahan juga merupakan pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai “Authorised Introducer” iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim pelaburan tersebut.

“PDRM juga menggesa mana-mana individu yang menjadi mangsa sindiket berkenaan agar tampil segera membuat laporan polis dan pada masa yang sama orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada serta melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan,” tegasnya.-MalaysiaGazette