Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (berdiri, kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar (berdiri, kanan) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar (kiri) dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SWCorp dengan JAWI di Pejabat KPKT, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 07 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan program kebersihan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, MoU di antara kedua-dua pihak tersebut merangkumi lima inisiatif yang akan dilaksanakan.

Antaranya adalah melaksanakan program pembersihan tandas di masjid dan surau bertaraf ‘BMW’.

Nga mensasarkan sebanyak 100 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu di seluruh negara menjelang tahun depan.

“Kita bukan sahaja nak buat reformasi kebersihan tandas tapi revolusi tandas pastikan tandas-tandas di negara ini betul-betul bersih dan menambah Pusat Kitar Semula Pandu Lalu.

“Setakat hari ini kita ada 33 buah Pusat Kitar Semula Pandu Lalu, dengan  kerjasama JAWI impian ini akan jadi realiti,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Manandatangani MoU berkenaan.

Pada majlis tersebut JAWI diwakili Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail manakala SWCorp diwakili Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mokhtar.

Hadir pada majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Menurut Nga, inisiatif seterusnya yang akan dilaksanakan dengan kerjasama SWCorp dan JAWI adalah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) dan Premis Jawi Sifar Sisa (PESIS)

“PESIS ini agar  tidak ada lagi sampah dibuang tanpa dikitar semula. Ini adalah sasaran kita. Walaupun setakat hari ini kita melepasi sasaran iaitu 33.17 peratus sampah dikitar semula tapi sasaran kita adalah 40 peratus menjelang tahun 2025.

“Kelima, perkongsian ilmu mengimarahkan alam sekitar dalam kursus pra-perkahwinan. Elak pembaziran ini penting untuk bakal pengantin sedar tanggungjawab kepada bumi selain menjadi suami, isteri dan bapa,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, pemantauan dan lawatan akan diadakan di masjid dan surau demi memastikan tandas sentiasa dibersihkan.

“Kita mahu pastikan MoU ini bukan hanya retorik sebab kebersihan surau dan masjid ini sudah banyak kali diperkatakan.

“Selain itu JAWI  juga akan mengadakan pertandingan tandas terbersih untuk galakkan dan beri motivasi mewujudkan kebersihan,” tambah beliau.

Na’im berkata, program pembersihan tandas dimulakan dalam kawasan Wilayah Persekutuan diharap menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Bila ada contoh secara terus dan berjaya wujudkan tandas bersih mudah untuk kita menggalakkan kepada negeri main,” ujarnya.

Pelaksanaan MoU dengan lima inisiatif ini dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Na’im berharap kerjasama di antara dua pihak ini akan berjaya membentuk minda masyarakat untuk mengamalkan kebersihan dan mengelakkan pembaziran sekaligus menggalakkan kitar semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast