Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

SERDANG – Seorang wanita ditahan selepas disyaki mendera dua kanak-kanak di bawah asuhannya di Seri Kembangan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, suspek seorang wanita tempatan berusia 24 tahun merupakan kenalan kepada ibu mangsa yang bekerja di Singapura.

Polis menerima laporan dari seorang lelaki mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa lalu selepas menerima aduan berhubung penderaan membabitkan dua kanak-kanak berusia empat dan tujuh tahun itu dari orang awam.

“Pengadu cuba mengesan ibu mangsa iaitu seorang wanita tempatan dan selepas berjaya dihubungi wanita itu meminta bantuan seorang rakannya bersama-sama pengadu untuk segera pergi mengambil anaknya dari rumah pengasuh yang juga suspek dalam kes dera ini.

“Pemeriksaan pada badan kedua-dua beradik itu mendapati ada kesan lebam dan kesan dirotan di seluruh badan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Anbalagan, kedua-dua kanak-kanak yang diselamatkan itu terus dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi mendapatkan rawatan.

Kejadian itu turut tular menerusi satu klip video yang suara latar berbahasa Tamil berdurasi dua minit 58 saat memaparkan kecederaan dialami mangsa dimuatnaik seorang pengguna TikTok.

Katanya,  suara yang bercakap dalam video itu menggesa orang ramai segera membuat laporan polis ke atas suspek yang bertanggungjawab serta ditunjukkan dalam video tersebut.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak malang itu dihantar oleh ibu mereka ke rumah suspek sekitar bulan Mac sebelum ke Singapura untuk bekerja,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu untuk mendapatkan perlindungan kepada kanak-kanak tersebut.

“Kedua-dua mangsa dibenarkan keluar dari hospital semalam,” katanya.

Dalam pada itu, lelaki yang mengadu tentang kejadian dalam video tular itu mendakwa kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu baru menjalani pembedahan di tekak dan selalu diheret ke dalam bilik gelap dan dibelasah oleh pengasuh menggunakan tali pinggang serta rotan sehingga mengalami kesukaran bernafas dan tidak bermaya. – MalaysiaGazette