SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM7, 000 untuk mengubahsuai laporan kimia berkaitan kes dadah.

Hakim Mahkamah Majistret Alor Setar, Nurul Huda Idris mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 April 2023 terhadap suspek tersebut.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan lewat 30-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam, semalam di sebuah stesen minyak di Alor Setar.

Difahamkan, suspek lelaki itu dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM7,000 sebagai balasan mengubahsuai laporan kimia berkaitan kes dadah supaya kes diturunkan kepada Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar, ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette