Zainur Zakaria

KUALA LUMPUR – Pandangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam permohonan UMNO mendapatkan pengampunan membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak tepat.

Peguam kanan, Zainur Zakaria berkata, Lembaga Pengampunan yang terlibat dengan permohonan pengampunan diraja dianggotai beberapa ahli tertentu termasuk Perdana Menteri.

Katanya, tugas Lembaga Pengampunan pula menasihati YDPA mengenai petisyen pengampunan yang dikemukakan oleh banduan.

“Pandangan (Hassan) tersebut tidak betul. Lembaga Pengampunan atau Pardons Board turut dianggotai Perdana Menteri.

“Beliau akan menasihati baginda mengenai petisyen pengampunan yang dikemukakan oleh banduan.

“YDPA pula bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan dan keputusan untuk memberi pengampunan atau tidak, baginda tidak bertindak sebagai mahkamah mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah,” katanya yang dipetik dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, dakwaan peguam Najib bahawa mereka akan menggunakan the sole “dissenting judgment” oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli sebagai alasan adalah suatu yang tidak logik dan tidak masuk akal.

“Takkan Lembaga Pengampunan dan YDPA akan mengambil kira penghakiman berbeza pendapat dan menolak empat keputusan majoriti dalam mempertimbangkan petisyen Najib?

“Perlu diingat, Lembaga Pengampunan dan YDPA tidak mempunyai kuasa dan juga bukan peranan mereka untuk mengkaji serta semak semula segala keputusan penghakiman bagi menentukan sama ada keputusan tersebut betul atau tidak di sisi undang-undang dan fakta.

“Oleh sebab Perdana Menteri adalah salah seorang ahli Lembaga Pengampunan, beliau akan terlibat dalam membuat keputusan sama ada untuk menasihat YDPA memberi pengampunan atau tidak kepada Najib,” katanya. – MalaysiaGazette