Warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mengekalkan tradisinya di bulan Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma menggunakan talam

PEKAN –  Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mengekalkan tradisi padai bulan Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma menggunakan talam kepada warganya yang berbuka puasa di Masjid UMP, Gambang dan Pekan sejak 14 tahun lalu.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Ts Dr Yuserrie  Zaiuddin berkata, ia secara tidak langsung dapat merapatkan ukhwah antara warganya.

“Seperti kebiasaan juga juadah tersebut akan dihidangkan di dalam talam untuk hidangan antara lima hingga enam orang dan konsep bertalam ini adalah diambil daripada sunnah Rasullullah SAW yang banyak memberi manfaat dan merapatkan silaturrahim antara satu sama lain.

“Lebih menariknya penyediaan memasak dijalankan secara bergotong-royong melibatkan staf dan sukarelawan pelajar secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan pada setiap hari sejak 1 Ramadan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Para petugas menyediakan juadah untuk santapan jemaah masjid menggunakan Roller Conveyer

Dalam pada itu, UMP turut menyediakan roller conveyer iaitu satu set pengagihan makanan bagi memudahkan petugas menyediakan juadah untuk santapan jemaah masjid secara kemas, efisien dan selamat.

Menurutnya, set ini terdiri daripada bekas periuk paras pinggang dan roller conveyor daripada bahan aluminium yang ringan untuk diletakkan talam hidangan di UMP Gambang.

“Segala perbelanjaan adalah hasil sumbangan staf secara tunai mahupun melalui potongan gaji dalam kalangan staf universiti yang berhasrat bersedekah dalam memanfaatkan bulan yang penuh keberkatan.

“Penyediaan juadah berbuka puasa disediakan dengan kuantiti sebanyak 2,000 pelajar hasil sumbangan organisasi korporat, anak syarikat UMP, jabatan dan Tabung Ramadan Yayasan UMP yang diterima daripada pihak luar termasuk individu dan pihak korporat yang menyumbang untuk Tabung Ramadan melalui Yayasan UMP,” katanya.

Pada tahun ini sumbangan sebanyak RM240,000 disasarkan dengan penyelarasan dilakukan di bawah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) bagi tujuan penyediaan Iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang bulan Ramadan. – MalaysiaGazette