KUALA LUMPUR – Tradisi memasak bubur lambuk bukan sahaja menjadi acara rasmi warga ibu kota setiap kali menyambut Ramadan, malah penduduk di negeri utara juga turut meriah dengan masakan itu.
Pada pertengahan Ramadan ini, Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak ingin melepaskan peluang memasak bubur lambuk khusus untuk penduduk Kampung Kuban Perun, Perlis sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).
Dalam program itu, YBR bersama kariah Masjid Ar Rashid, Kampung Kubang Perun memasak bubur lambuk dalam program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk bagi menyemarakkan suasana Ramadan.
Turut menganjur bersama ialah Persatuan Belia 4B Parlimen Padang Besar.
Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, program itu berlangsung dalam suasana meriah dan ceria bermula dari aktiviti gotong-royong menyiapkan kira-kira 200 pek juadah popular itu.
Katanya, acara memasak bubur lambuk itu turut disertai ahli kariah masjid serta penduduk tempatan.
“Edaran makanan ini secara percuma dan sumbangan Ramadan ini adalah untuk berkongsi supaya masyarakat dapat menikmatinya,” katanya.
Turut hadir, Rosli Osman yang mengetuai gotong royong persiapan bubur lambuk, yang mana program itu bermula sejak awal Ramadan lagi. – MalaysiaGazette