Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan Sistem Pengambilan Pekerja Asing dan Pengurusan Sumber Manusia (SPDRM) dilakukan pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Justeru, laporan berhubung kenyataan KSM telah memberikan sokongan penuh kepada SPDRM adalah tidak benar.

“KSM ingin menjelaskan, tiada sebarang perbincangan yang pernah dibuat mengenai SPDRM dengan mana-mana pihak. Justeru, kenyataan menyatakan KSM telah memberikan sokongan penuh kepada SPDRM adalah tidak benar sama sekali.

“KSM berharap penjelasan ini akan menjawab sebarang persoalan atau kekeliruan dalam kalangan majikan atau industri khususnya perwakilan diplomatik negara sumber mengenai SPDRM,” kata KSM menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan, majikan hanya perlu membayar RM1,000 kepada syarikat pengambilan pekerja, WOWI HR-Malaysia untuk mengambil pekerja asing menerusi SPDRM tetapi bayaran itu tidak termasuk levi dan tiket penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Mahadzir Mansor dipetik berkata, menerusi SPDRM yang disokong penuh KSM serta mematuhi semua peraturan pengambilan pekerja asing, proses pengambilan pekerja boleh dilakukan di hujung jari tanpa orang tengah.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilapor mengesahkan tiada perbincangan antara Malaysia dan Jakarta berhubung SPDRM, selain pihaknya juga tidak jelas sama ada ia sistem rasmi kerajaan Malaysia atau sektor swasta. – MalaysiaGazette