Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub diiringi Pengarah Operasi Cawangan 99 Speedmart, Yong Eng Kwang (kiri) melakukan gimik ‘flag off’ pada Majlis Penyerahan Bakul Rahmah Sumbangan 99 Speed Mart Sdn.Bhd di Menara SuruhanJaya Syarikat Malaysia, Kuala lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak pernah menaikkan harga daging import sama ada lembu mahu pun kerbau menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana daging import adalah barang kawalan yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau berkata, khabar angin yang kini bertiup kencang dalam media sosial mengenai kenaikan harga melampau sumber protein itu dilihat sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk menunjukkan kegagalan kerajaan.

“Pergilah ke mana-mana kedai yang menjual daging import kerbau ini, harga pada paras RM18 hingga RM20 sekilogram, ada yang RM22 mengikut gred daging itu.

“Bagi daging lembu tempatan, itu harga yang sememangnya tidak kita kawal tapi untuk mengatakan daging import yang dikawal oleh kerajaan ini naik melampau, itu tidak benar sama sekali.

“Saya takut ada khabar angin yang sentiasa ditiup kononnya kerajaan gagal mengawal harga barang asas dan ini tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media di Menara SSM, KL Sentral hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin meminta orang ramai agar melaporkan kepada KPDN sekiranya harga daging import dinaikkan melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

“Sekiranya ada laporan di tempat-tempat tertentu, rakyat atau pengguna dapat memberikan bukti yang tepat dan laporkan segera kepada pihak KPDN, kita akan bertindak segera.

“Di masa itu juga kita akan mengarahkan pegawai penguatkuasa pergi ke tempat itu untuk periksa sama ada berita itu benar atau tidak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, daging lembu tempatan dan daging kerbau import menunjukkan kestabilan bermula 22 November 2022 hingga sekarang.

“Di Semenanjung, harga daging lembu import adalah RM37.96 sekilogram dan harga kerbau RM20.52. Harga daging lembu tempatan ada menampakkan penurunan,” jelasnya.

Bagi memastikan harga barang keperluan tidak mengalami kenaikan melampau pada musim perayaan, pihaknya akan mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan pada 12 April ini.

“Lebih kurang 30 barang keperluan rakyat dalam bulan Ramadan dan Syawal nanti akan dapat kita beritahu dan akan dikawal sepenuhnya oleh pihak KPDN.

“Barang asas yang dikawal oleh kerajaan tidak pernah naik seperti beras, minyak masak, telur ayam kita jaga gred ABCD, ayam bulat kita kawal pada harga syiling RM9.40,” katanya.

Salahuddin turut mengingatkan rakyat agar melaporkan kepada KPDN sekiranya berlaku pencatutan kepada barang keperluan yang bukan dikawal oleh kerajaan.

“Kalau ada barang-barang tidak dikawal, tetapi menunjukkan berlakunya isu pencatutan, untung melampau, itu mesti dilaporkan segera kepada pihak KPDN untuk kita mengambil tindakan tegas.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur langsung kepada harga barang dinaikkan secara melampau yang menyusahkan rakyat untuk membeli-belah menjelang hari raya ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast