Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) dalam pengumuman agihan dividen KOSMA hari ini. Sumber : Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mengumumkan agihan dividen sebanyak 55 peratus tahun tahun kewangan berakhir 2022 kepada semua ahlinya yang layak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kosma merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM84 juta berbanding RM74 juta direkodkan pada tahun 2021.

“Jumlah agihan dividen yang akan dibayar oleh Kosma sebanyak RM30.4 juta dan pembahagian keuntungan unit ladang berjumlah RM30.2 juta,” katanya dalam hantaran di laman media rasmi hari ini.

Berdasarkan perolehan atau hasil sektor perladangan untuk tahun 2022, Kosma mencatatkan hasil pendapatan berjumlah RM237 juta berbanding RM222 juta pada tahun 2021.

Beliau berkata, bayaran pendahuluan 10 peratus akan dibayar secara berperingkat bermula 13 April ini kepada 1,430 anggota koperasi membabitkan keuntungan unit ladang sebanyak RM6,500 seunit.

“Selain itu, saya turut menyerahkan sumbangan Kosma berupa van jenazah kepada tiga masjid serta van serba guna kepada sebuah masjid dan sebuah sekolah menengah. – MalaysiaGazette