Pelajar tahfiz tekun membaca ayat suci al-Quran bagi mengambil peluang beribadah pada hari ketujuh bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2023.

HARI nuzul Quran merupakan hari penting bagi umat islam sedunia. Hari tersebut yang jatuh pada 17 Ramadan merupakan hari pertama al-quran diturunkan kepada Rasulullah SAW. Peristiwa nuzul al-Quran merupakan antara lipatan sejarah terpenting dalam Islam. Tarikh tersebut merupakan peristiwa malaikat Jibril diutuskan untuk menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW yang bertempat di Gua Hira. Ayat al-quran pertama yang diturunkan Allah kepada rasul-Nya ialah surah al-A’laq ayat 1-5 yang membawa maksud : “Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Al-quran yang mengambil masa selama 23 tahun menjadi satu kitab yang sempurna diturunkan secara berperingkat-peringkat dan menjadi huda (petunjuk) buat manusia. Hal ini dijelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 185, yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang hak dengan batil,” 

Selari dengan keistimewaan al-Quran itu sendiri, ia merupakan mukjizat teragung yang memimpin manusia dari terjerumus ke jurang kesesatan dan batil. Sekaligus menjadi panduan buat umat manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan terpimpin dan mengikut jalan yang benar. Mukjizat al-quran ini menjadi petunjuk kepada manusia untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera menuju hari akhirat.

Oleh itu, bersempena Ramadan ini amalan membaca al-Quran perlu disinonimkan sepanjang menjalani ibadah puasa. Pembudayaan membaca al-Quran akan meningkatkan pahala dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan bertadarus juga amat baik dipraktikkan bagi mengajar diri untuk membaca al-Quran secara tartil dan bertajwid. Tartil dari sudut istilah ialah meraikan tempat keluarnya huruf dan menjaga tempat berhentinya, dikatakan juga bahawa tartil adalah merendahkan suara dan bersedih dengan bacaan (al-Quran) yang dipetik maknanya dari al-Ta’rifat.

Bertadarus dapat membantu memperelokkan bacaan al-Quran di samping membantu melatih lidah untuk membiasakan sebutan dengan lebih jelas dan bertajwid. Hal ini selaras dengan Syeikh ‘Ali al-Qari berkata: “Maka hendaklah meraikan semua kaedah-kaedahnya (makhraj huruf dan sifatnya) secara wajib pada apa yang boleh mengubah struktur ayat atau merosakkan makna, dan sunat pada apa yang dapat mengelokkan lafaz dan sebutan ketika membacanya,”.

Sementelahan itu, Rasulullah SAW turut menggalakkan umatnya mempertingkatkan amalan membaca al-Quran di bulan Ramadan. Seperti dalam hadis yang disebutkan oleh baginda: “Bacalah kamu al-Quran sesungguhnya al-quran pada hari kiamat akan datang memberi syafaat kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim). Oleh itu, hendaklah setiap muslim memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan Ramadan.

Pada masa yang sama juga, aktiviti mentadabbur al-Quran digalakkan untuk dilakukan bagi memberi kefahaman dalam diri tentang perkara yang diperkatakan di dalam al-Quran. Hal ini berupaya menjadikan diri lebih tenang dan gembira apabila memahami setiap terjemahan dan perkara yang ditulis di dalam al-Quran. Dalam surah Sad, ayat 29 menyatakan bahawa: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya,”.

Kesimpulannya, hari Nuzul Al-Quran merupakan hari mulia dalam Ramadan. Selaras dengan penurunan al-Quran di bulan Ramadan, umat Islam diseru untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan khatam al-Quran di bulan Ramadan. Amalan ini dapat melatih diri untuk lebih istiqamah membudayakan bacaan al-Quran di samping mempelajari dan mentadabbur al-Quran untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti
Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast