Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA FC), Nafuzi Zain menyedari hakikat bahawa masih terdapat banyak kekurangan dalam skuad kendaliannya.

Kekalahan besar dibelasah 0-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi memberi indikasi jelas kelemahan ketara ditampilkan barisan pemain Kedah terutamanya ketika beraksi dalam tekanan.

Meskipun hanya dibolosi satu gol pada babak pertama, pasukan tuan rumah nyata sukar digugat pada 45 minit berikutnya dengan tambahan lima lagi jaringan untuk melakarkan kemenangan kelapan berturut-turut dalam kempen Liga Super Malaysia 2023.

“Kita tewas agak besar, saya rasa perlawanan ini baguslah untuk pengajaran kita dan kita tahu di mana tahap kita berada,” ujarnya selepas tamat perlawanan.

Nafuzi menambah, Kedah sudah mencuba yang terbaik tetapi banyak kekurangan dan kelemahan yang nampak memang ketara daripada segi individu dan berpasukan.

“Kita tahu kita berjumpa pasukan sebagus JDT sekiranya kita memberikan ruang, kita melakukan kesilapan memang kita akan dihukum. Tetapi yang bagusnya untuk perlawanan ini kita dapat belajar.

“Saya kena akui pemain saya agak gugup. Paling penting pemain kena berani untuk bermain. Kena ada keyakinan daripada segi mengawal bola, melakukan hantaran.

“Sekiranya takut, gugup itulah masalah utama dan saya lebih mengenali pemain saya sekarang ini dengan perlawanan besar yang bertahap tinggi seperti ini dengan tekanan.”

“Kalau seorang pemain yang bagus, dia akan dapat bermain dalam keadaan tekanan,” tambah Nafuzi Zain lagi,” katanya.

Malam tadi, JDT membelasah Kedah 6-0 sekali gus melakar kemenangan kelapan berturut-turut pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di Johor Bahru.

Walaupun skuad kendalian Esteban Solari hanya mampu mencipta satu gol pada babak pertama namun pada babak kedua, skuad Harimau Selatan bagaikan mengamuk apabila meledak lima gol sekali gus melenyapkan corak permainan skuad Nafuzi Zain yang mahu menampilkan gaya permainan ‘Nafuzi ball’ yang sekadar omongan kosong dalam perlawanan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast