Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) masih belum memutuskan untuk menetapkan harga lantai kadar e-hailing bagi pemandu dan penghantar barangan.

Menterinya, Anthony Loke berkata permintaan Persatuan Pemandu Grab (GDMA) yang disuarakan baru-baru ini masih di peringkat perbincangan.

Walaubagaimanapun jelasnya, kementerian berkenaan kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan terhadap penetapan kadar e-hailing.

“Kita di peringkat perbincangan belum ada apa-apa keputusan. Kita faham pemandu berharap ada kadar minimum ditetapkan supaya kadar trip tu berbaloi.

“Kita sebolehnya nak kekalkan dasar sedia ada dari segi tidak ada campur tangan terhadap kadar perkhidmatan, biar pasaran yang tentukan,” katanya.

Mengulas lanjut Anthony berkata, penetapan harga lantai akan mengakibatkan harga tambang juga akan meningkat.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menolak pemandu e-hailing juga perlu menampung kos operasi masing-masing.

“Pemandu ada kos operasinya jadi kita akan perincikan akan siasat dan bincang dulu dengan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh dan Pengendali e-hailing (EHO),” ujarnya.

Dilaporkan GDMA menggesa kerajaan berbincang dengan semua pemain gig bagi menentukan harga lantai perkhidmatan pemandu dan penghantar.

Persatuan berkenaan berkata, dianggarkan 100,000 pemandu e-hailing termasuk sepenuh dan separuh masa masih menunggu tuntutan mengenai hak mereka dilaksanakan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast