MELAKA – Polis mengingatkan orang ramai supaya menghentikan spekulasi berhubung seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dirogol bapa tirinya sehingga kedua ibu bapanya ditahan bagi membantu siasatan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ia susulan siasatan menyeluruh masih dijalankan bagi kes yang melibatkan mangsa yang merupakan remaja bawah umur.
“Jadi saya mohon kerjasama pada semua masyarakat di luar sana supaya tidak ada membuat sebarang spekulasi kerana ia akan mengganggu siasatan pihak polis.
“Malah kawan kepada kanak-kanak (remaja) tersebut juga adalah saksi untuk membantu pihak polis dalam siasatan ini dan kita akan panggil beberapa orang saksi lagi untuk menbantu siasatan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Jamil berkata, beberapa saksi lain termasuk rakan serta ahli keluarga mangsa juga akan dipanggil untuk membantu siasatan
“Bagaimanapun rakan lelaki mangsa berusia 20-an yang dipercayai membantu melarikan mangsa ke Perak baru-baru ini juga tidak ditahan, sebaliknya hanya dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan yang juga anak tiri kepada lelaki berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Pengawal keselamatan berusia 36 tahun itu dan isterinya, 40 tahun yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira pukul 9.30 malam Sabtu lalu.
Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jasin dan merupakan anak kandung kepada wanita itu membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu sejak tiga tahun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan hilang dari rumahnya di Jasin namun berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat Rabu lalu selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette