KUANTAN – Seorang kelindan maut akibat tersepit selepas lori dinaikinya terbabas di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit tinggi pada awal pagi tadi.
Mangsa R. Sugunaran, 45 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori, N.Gopalla Rajoo, 41, mengalami kecederaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 3.31 pagi.
“Setiba di lokasi, sepasukan lapan anggota bomba membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, tambah beliau, mangsa kedua yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette