Sian See
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk mengampuni individu yang disabitkan kesalahan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada kelayakan tertentu adalah tepat dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Biro Undang-Undang dan Aduan Awam Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang, Jason Ong Khan Lee berkata, menurut Perkara 42(4)(a) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan pengampunan adalah di bawah Fasal (3) Perkara 40.

Ini bermakna Yang di -Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara muktamad apabila memutuskan untuk memberikan pengampunan, yang tidak terhad kepada nasihat Lembaga Pengampunan.

Dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali dalam kes di mana Perlembagaan Persekutuan menghendaki Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak mengikut budi bicara baginda.

Kuasa pengampunan di bawah Perkara 42(4)(a) adalah salah satu kuasa budi bicara yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perlembagaan Persekutuan.

Untuk menjelaskan lebih lanjut, Jason menambah, Perkara 42(4)(b) menyatakan kuasa yang boleh dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri mesti dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5) .

Namun, peruntukan ini tidak terpakai kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, adalah tidak betul untuk mencadangkan bahawa Yang di-Pertuan Agong terikat untuk mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

“Tetapi adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk mengampuni adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada had tertentu,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong mesti menggunakan kuasa ini mengikut prinsip keadilan dan kesaksamaan dan keputusan untuk memberikan pengampunan mestilah berdasarkan merit setiap kes individu.

Setakat ini, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk mengampun telah digunakan melalui undang-undang kes seperti Karpal Singh lwn Sultan Selangor [1988] 1 MLJ 64 dan Sim Kie Chon lwn Penguasa Penjara Pudu & Ors [1985] 2 MLJ 385 .

“Kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk mengampuni adalah tepat dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti memastikan bahawa kita mempunyai pemahaman yang betul tentang Perlembagaan dan kuasa yang diberikannya kepada pemimpin kita,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menjelaskan, hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja dapat memberikan pengampunan penuh kepada mana-mana individu, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Proses pengampunan itu dibenarkan kepada sesiapa, Jadi hal ini boleh dibawa (oleh sesiapa).

“Tentunya, mereka perlu mematuhi peraturan yang mana, saya akan ada dalam proses itu,” katanya perdana menteri ketika ditanya mengenai cadangan permohonan pengampunan diraja yang dipohon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi Datuk Seri Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dipetik berkata, permohonan pengampunan itu dibuat setelah mendapati Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menyatakan Najib dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Kenyataan itu diberikan Abdul Rahman pada pendengaran semula rayuan Najib bagi menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International Berhad pada 31 Mac lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. AMPUN TUANKU patik rakyat biasa mencadangkan Pastikan pegampunan bersarat tidak di benar kan lagi bekas banduan menjadi wakil rakyat tidak dibenar kan memgambil menerima jawatan dalam KERAJAAN sebagai balasan yang adil

Comments are closed.