Fuad Kiram
Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Salah seorang daripada anggota kumpulan yang membuat tuntutan pampasan terhadap Sabah, Fuad A. Kiram telah diklasifikasikan sebagai pengganas oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Fuad yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu dipercayai terlibat dalam insiden pencerobohan kumpulan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada awal 2013.

“Beliau telah pun diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 6 April 2023 di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613],” katanya dalam sidang media di BHEUU di sini hari ini.

Selain Fuad, tiga lagi individu yang membuat tuntutan tersebut ialah Sheramar T. Kiram, Permaisuli Kiram-Guerzon dan Jenny KA Sampang.

Merujuk kepada Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 April 2023, Fuad atau nama penuhnya, Muhammad Fuad Abdullah Kiram didakwa mengambil bahagian dan memudahkan pelakuan suatu perbuatan keganasan.

Warga Filipina berumur 69 tahun itu juga dikatakan sebagai salah seorang pengasas kumpulan pengganas, Royal Sulu Force.

Khairul Dzaimee turut berkongsi beberapa strategi yang diambil oleh kerajaan bagi menangani isu tuntutan tersebut.

Menurut beliau, pada 17 Februari lalu, kerajaan telah bersetuju agar pasukan khas bagi menangani isu tuntutan itu distruktur semula kepada sekretariat khas yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dengan Peguam Cara Negara II sebagai timbalannya.

“Keahlian lain terdiri dari wakil pihak Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bahagian Penyelidikan, JPM, Peguam Besar Sabah dan pakar-pakar perundangan tempatan,” jelasnya.

Khairul Dzaimee berkata, Kabinet juga telah bersetuju dengan penubuhan bilik gerakan yang berpusat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia bagi memastikan semua tindakan yang diambil sentiasa dipantau dan mendapat sokongan yang tuntas.

Beliau memberitahu, bilik gerakan itu juga dapat memberi khidmat sokongan kepada sekretariat khas bagi memantau kes perundangan, kenyataan-kenyataan media antarabangsa dan strategi global bagi menangani tuntutan tersebut.

Selain itu, katanya, Kabinet telah bersetuju dengan lantikan sebuah firma perhubungan awam antarabangsa yang berprestij dan berprestasi tinggi untuk menyediakan dan menguruskan media, naratif global serta strategi perhubungan awam antarabangsa bagi Malaysia berkaitan isu tersebut.

“Susulan dengan keputusan ini, sebuah syarikat yang beroperasi di United Kingdom dengan pejabat urusan di sekitar Eropah telah dilantik,” katanya.

Khairul Dzaimee menambah, sebuah laman sesawang khusus akan dibangunkan untuk membekalkan maklumat yang tepat dari sumber yang sahih seperti sejarah perjanjian, prosiding mahkamah, tindakan penuntut, tindakan kerajaan, artikel-artikel berkaitan, video yang berkaitan serta maklumant-maklumat lain berkaitan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.

“Laman sesawang tersebut mempunyai terjemahan dalam lima bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Malaysia, Perancis, Sepanyol serta Tagalog dan menjadi salah satu platform rasmi untuk rakyat dan warga media dalam dan luar negara untuk mendapatkan perkembangan terkini kes tuntutan serta fakta-fakta yang berkaitan,” jelasnya.

Laman sesawang berkenaan akan dilancarkan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil esok. – MalaysiaGazette