Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti khas persekolahan pada 19 April depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, cuti itu diberikan bagi memberikan ruang kepada guru-guru dan murid-murid sempena persiapan Hari Aidilfitri.

“KPM umumkan bahawa pada 19 April isytihar cuti khas untuk semua warga KPM.

“Jadi 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis ikrar bebas rasuah dan forum integriti di kementeriannya, pagi tadi.

Sesi cuti persekolahan untuk Aidilfitri ditetapkan pada 20 April hingga 1 Mei depan.

“Kita ambil semua pandangan dan untuk kesejahteraan guru-guru KPM bagi mengurus perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Dalam pada itu, Fadhlina akan mengumumkan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sehari sebelum cuti khas berkenaan.

Ujarnya, pengumuman ini bakal dibuat mengikut aturan biasa dan keputusan STAM boleh diambil selepas pengumuman berkenaan.

“Calon boleh memperoleh keputusan peperiksaan STAM daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada tarikh berkenaan.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan terbabit,” katanya.

Keputusan itu akan membabitkan seramai 4,634 calon yang menduduki peperiksaan terbabit di 134 pusat peperiksaan di seluruh negara. – MalaysiaGazette