Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengakui terdapat pandangan pelaksanaan hukuman mati mandatori di negara ini masih dianggap relevan sebagai pencegahan terhadap kesalahan yang bakal dilakukan.

Namun, tiada kajian lanjut dapat membuktikan hukuman mati itu merupakan langkah pencegahan jenayah yang terbaik atau berkesan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, keberkesanan hukuman mati sebagai satu bentuk pencegahan tidak dapat dipastikan memandangkan banyak faktor boleh mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah.

Selain itu, kata beliau, hukuman mati yang telah dilaksanakan juga tidak boleh diperbaiki atau dipulihkan.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan kewujudan hak asasi untuk hidup setiap individu dan pemansuhan hukuman ini bertujuan menghormati hak mereka sambil memastikan keadilan bagi semua pihak.

“Selaras tujuan ini, prinsip asas di sebalik setiap hukuman adalah pemulihan banduan agar mereka dapat kembali kepada masyarakat dan menjadi individu yang dapat berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara setelah selesai hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

Ramkarpal turut menjelaskan statistik banduan hukuman mati yang diampun dan dibebaskan yang direkodkan Jabatan Penjara Malaysia sejak tahun 2019.

Katanya, sejak 2012 kerajaan telah memulakan kajian dan perbincangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bermula dengan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

“Keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori dibuat rentetan dari keputusan mesyuarat Jemaah Menteri terdahulu yang mendapati wujud keperluan supaya kajian lebih mendalam dibuat terhadap keputusan ini.

“Dalam hal ini, kerajaan juga pada 29 Ogos 2019 telah setuju menubuhkan jawatankuasa khas kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang ditubuhkan.

“Jawatankuasa khas ini menyemak dan mengkaji secara keseluruhan polisi penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar tertakluk kepada budi bicara mahkamah,” ujar beliau.

Menurut Ramkarpal, jawatankuasa khas ini dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjun dan ahlinya terdiri daripada pakar perundangan seperti mantan Hakim Besar Malaya, mantan Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada IPTA terkemuka dan pakar kajian jenayah.

Kata beliau, jawatankuasa khas itu melaksanakan kajian bersifat komprehensif dan holistik melalui pelbagai kaedah pengumpulan data dan maklumat dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Berdasarkan semua sesi libat urus, soal selidik awam serta perkongsian pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak, cadangan polisi penghukuman baru oleh jawatankuasa khas bersandarkan tiga prinsip.

“Pertama, bagi kesalahan yang menyebabkan kematian, hukuman mati atas budi bicara dikekalkan; kedua, bagi kesalahan lain yang tidak menyebabkan kematian, hukuman mati tidak harus dijatuhkan oleh mahkamah; dan ketiga, sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan oleh mahkamah, pesalah boleh dikenakan hukuman alternatif termasuk sebatan.

“Cadangan ini selaras dengan prinsip keseimbangan sebagai sebahagian daripada falsafah undang-undang negara yang memastikan keadilan melalui hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” kata beliau.

Katanya, selain mengemukakan syor hukuman gantian kepada 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan 23 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara mahkamah, jawatankuasa khas ini mengemukakan pelbagai cadangan hala tuju sistem keadilan jenayah untuk pertimbangan kerajaan menerusi laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2022. – MalaysiaGazette