Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR – Dewan Negara diberitahu, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori amat signifikan kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang sering dijadikan sebagai keldai dadah oleh pihak tertentu.

Senator Datuk Dr. Ras Adiba Mohd Radzi berkata, justeru beliau menyokong penuh pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1962 atau Akta 234 bagi Fasa 54.

Kata beliau, fasa itu bertujuan untuk meminda Seksyen 39B ADB, yang mana Fasa 50A bertujuan mengubah hukuman bagi kesalahan mengedar dadah dalam Seksyen 39B (2) iaitu bilangan sebatan daripada minimum 15 kali kepada minimum 12 kali jika hukuman mati tidak dijatuhkan.

“Pindaan ini amat tepat pada masanya kerana Malaysia kini merupakan Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024.

“Pindaan RUU ini tentu sekali boleh menjadi pencapaian Malaysia dalam memberikan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia,” katanya dalam sesi menggulung dan menjawab usul pindaan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori di sini, hari ini.

Menurut Ras Adiba, negara masih tidak lupa insiden yang menimpa ke atas seorang rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh kerajaan Singapura tahun lalu.

Jelas beliau, Nagaenthran yang merupakan seorang OKU dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin di republik pada 2009.

Katanya, walaupun kerajaan Malaysia telah mengemukakan rayuan, tetapi gagal.

“Sukar untuk kita merayu kepada negara ini agar tidak mengenakan hukuman gantung apabila negara ini juga mempunyai hukuman mati mandatori.

“Ramai lagi golongan OKU terus dijadikan keldai dadah oleh sindiket utama, tetapi yang terus dikenakan hukuman mati adalah insan teraniaya seperti mereka ini, warga emas dan miskin tegar.

“Sehubungan itu, saya mohon kerajaan dapat nyatakan berapakah jumlah OKU yang telah menjadi mangsa keldai dadah di dalam dan luar negara sehingga kini,” katanya.

Beliau turut menyentuh berhubung reformasi penjara dengan menyataka, di Malaysia masih lagi mengalami isu kesesakan penjara dan masih banyak kes 39B, bunuh dan pemilikan senjata api yang berlaku tiap hari, yang menyaksikan hukuman mati tidak mempunyai apa-apa sifat pencegahan. – MalaysiaGazette