waris sulu
Azalina Othman Said

PUTRAJAYA – Kerajaan menyifatkan fakta kes kumpulan yang mendakwa mereka sebagai waris Kesultanan Sulu dalam isu tuntutan pampasan terhadap sebagai tidak kukuh.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehingga kini, belum lagi diketahui sama ada pihak penuntut tersebut adalah benar-benar waris Sultan Jamalul Kiram II.

“Tambahan lagi, tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia mengabaikan kehendak rakyat Sabah untuk menyertai Malaysia pada 1963, sepertimana yang telah dilapor oleh Suruhanjaya Cobbold,” katanya.

Azalina berkata demikian dalam sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau menambah, kes tuntutan Sulu terhasil apabila sekumpulan warga Filipina yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu menuntut bayaran pampasan daripada Malaysia kerana mereka mendakwa bahawa sebahagian Sabah dipajak kepada Malaysia.

Azalina memberitahu, tuntutan mereka melalui timbang tara komersial serta prosiding yang dijalankan terhadap Malaysia dibiayai oleh satu dana litigasi yang dikenali sebagai Therium.

“Pihak-pihak ini telah bersekongkol untuk menuntut sebanyak AS$14.9 bilion daripada Malaysia.

“Asas tuntutan mereka adalah berdasarkan suatu perjanjian antara Kesultanan Sulu dan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad-19 dalam bahasa Jawi,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak media memainkan peranan yang penting dalam memastikan naratif yang sahih berkenaan tuntutan itu disebarkan kepada orang awam untuk memupuk kesedaran berkenaan ancaman-ancaman terhadap negara yang bersifat tidak konvensional.

“Dalam memastikan penyebaran maklumat yang benar tentang kes ini, kerajaan telah menubuhkan satu laman sesawang, yang akan dilancarkan esok, yang akan mengandungi maklumat-maklumat berkaitan sejarah tuntutan serta perkembangan kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tuntut balik semua bayaran sewa sebab waris Sultan Sulu bukan lagi pemilik Sulu dan Sabah sejak terbentukmya Filipina sebagai republik memansuhkan kuasa hak milik Sultan Sulu.

Comments are closed.