Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man tiba di Mahkamah bagi menghadapi lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram yang akan berdepan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja mengelak daripada dirakam bahkan ada petugas media yang ditepis tangannya ketika cuba mendekati bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ketika mahu beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Insiden itu berlaku dipercayai kerana bekas Menteri Besar Perlis itu mahu mengelakkan daripada memberi sebarang kenyataan selepas beliau berdepan lima pertuduhan berkaitan dengan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Terdahulu bekas Menteri Besar Perlis itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,059,675.25 antara 2014 hingga 2017.

Azlan, 65, yang berdepan dengan lima pertuduhan itu menerima hasil daripada aktiviti penggubahan wang haram menggunakan empat cek bank tempatan dan satu serahan wang secara tunai.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Menurut pertuduhan, Azlan menerima empat keping cek masing-masing bernilai RM208,339.90, RM196,651, RM224,404.40 dan RM222,811.95 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. pada 19 Februari 2014, 9 Februari 2015, 2 Februari 2016 dan 3 April 2017.

Manakala serahan wang tunai itu pula yang berjumlah RM207,468.00 diterima Azlan daripada seorang individu mewakili syarikat Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. pada Disember 2017.

Kesemua kesalahan itu dilakukan Azlan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan, Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperialis, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Kesalahan itu didakwa di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Welanon tu dah koyak…
    terlalu emosi
    terlalu takut
    rakyat mendoakan semuga memfaatkan masa-masa INDAH berhariraya bersama ahli keluarga tahun 2023…
    temuilah rakyat meminta ampunmaaf sebelum tersumbat.
    bila dah kedalam usahkan rakantaulan… anakbini pun berkalih-kalih hahaha

Comments are closed.