Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan keputusan kes seorang peniaga yang didakwa membunuh seorang wanita, enam tahun lepas ke tarikh lain. Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan 16 Jun untuk keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 40, selepas membenarkan permohonan peguamnya Datuk Naran Singh.

IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan keputusan kes seorang peniaga yang didakwa membunuh seorang wanita, enam tahun lepas ke tarikh lain.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan 16 Jun untuk keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 40, selepas membenarkan permohonan peguamnya Datuk Naran Singh.

Naran memohon supaya keputusan ditangguhkan pada tarikh lain susulan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 semalam.

“Semalam ia diluluskan namun belum digazetkan dan sekiranya diizinkan mohon satu tarikh lain untuk keputusan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani berkata bahawa pihak pendakwaan mengambil maklum mengenai pindaan undang-undang hukuman mati mandatori dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah bagi keputusan kes itu.

Mohd Nur Hussein didakwa membunuh Hamidah Abdul Rahman, 53, di No 2, Persiaran Wira Jaya Timur 38, Taman Dato Lew Yan Sip di sini antara pukul 12.01 tengah malam hingga 5 pagi, 13 Mac 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa dilaporkan ditemukan oleh anak bongsunya di bilik tidur kediaman mereka dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di belakang badan.

Tertuduh yang berniaga di Pasar Besar Gunung Rapat berhampiran tempat mangsa bekerja ditahan pada pukul 12 tengah hari, hari sama, selepas dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Semalam, Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan di Dewan Negara tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Senator. – Bernama