Anthony Loke bergambar bersama pengendali syarikat bas selepas perasmian Majlis Menandatangani Perjanjian Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) 2023 di Kementeriannya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia tidak mempunyai bantahan untuk pihak berkuasa Australia mengeluarkan laporan mengenai nahas pesawat Double Six yang mengorbankan 11 individu termasuk ketua menteri Sabah Tun Fuad Stephens.

Malah, kerajaan Australia sudah diberikan ‘lampu hijau’ untuk mendedahkan laporan siasatan nahas pesawat tersebut sebelum ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan pihak berkuasa Australia untuk mengeluarkan laporan itu…dan pihak Australia bersedia untuk mendedahkannya.

“Sudah tentu mereka bersedia dan mereka menghormati kerajaan kita kerana insiden berkenaan berlaku di Malaysia.

“Mereka turut meminta pendapat serta kebenaran kita untuk mendedahkan laporan berkenaan,” katanya sambil menambah kedua-dua negara sudah berkomunikasi mengenai isu tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) 2023 di Kementeriannya di sini, hari ini.

Untuk rekod, kerajaan telah menyahklasifikasi laporan akhir mengenai kemalangan itu dengan menyatakan tidak ada unsur khjianat dalam insiden yang mengorbankan 11 nyawa di Sabah pada 1976.

Sebaliknya, laporan yang didedahkan semalam menyatakan kesilapan juruterbang Kapten Gandhi Nathan boleh membawa kepada tragedi itu.

Kesilapan itu termasuk tidak mempunyai sebarang beban yang sekata dalam pesawat, menggerakkan pusat graviti jauh di luar had belakang yang diluluskan.

Laporan itu juga berkata, juruterbang itu mungkin keletihan selepas bekerja melebihi waktu yang ditetapkan.

Antara yang terkorban terkorban dalam tragedi Double-Six termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu iaitu Fuad (Ketua Menteri Sabah); Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).

Turut terkorban adalah Datuk Darius Binion (pembantu menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).

Selain itu, Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban. – MalaysiaGazette