Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka Ke-10, Datuk Rosli Hasan, 52, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2018 di Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka Ke-10 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 sebagai habuan daripada kontraktor projek pembinaan sebuah masjid, enam tahun lalu.

Tertuduh Datuk Rosli Hasan, 52, yang pernah bekerja dengan Datuk Seri Idris Haron, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 12 pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya bernilai RM323,736 di alamat No 24, Jalan Pokok Mangga 6A, Taman Pokok Mangga, di sini antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

Tertuduh turut didakwa atas 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.

Ia sebagai dorongan membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan pendakwa raya Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga diminta melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar.

Ini katanya, memandangkan tertuduh perlu menanggung dua isteri dan lapan anak dan hanya bergantung kepada pendapatan pencen sebanyak RM2,018 sebulan.

Hakim Elesabet kemudian membenarkan rayuan dan cadangan syarat tambahan serta dan menetapkan 16 Mei bagi untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.

2 Komen

  1. apa trending kerajaan Perbanduan sekarang?
    mungkin penuh SEPENGGAL hanya cari PENJENAYAH yang TERKELUAR dari kepentingan. mungkin akan minta tambah SEPENGGAL lagi untuk MENCARI FORMULA demi rakyat dan tambah SEPENGGAL lagi untuk merangka ekonomi rakyat. itu kot yang president Welanon kata sekurang-kurangnya TIGA PRU akan bertahan. tempoh tu cukup MELEPASKAN kes-kes sangkutnya.
    rakyat lihat hanya dikecualikan Welanon Welanon yang MENAMBAHSELAMAT tempoh KUASA lambat atau skip segala-galanya.
    class kerajaan PERBANDUAN…

    • Haaa hari2 walaun tulis komen kat sini…sabar lah penyamun…rakyat tak undi korang sbg kerajaan…korang mmg musibat.. dah sakau bagi fatwa sedekah..

Comments are closed.