KUALA LUMPUR – Dalam keadaan ekonomi di seluruh dunia yang semakin suram dan sarat dengan penstrukturan semula perniagaan, peningkatan kos operasi serta kadar faedah yang tinggi, pekerja menyuarakan kebimbangan tentang kestabilan kewangan dan pekerjaan mereka.

Di Malaysia, 60 peratus responden berkata, mereka bimbang kehilangan pekerjaan.

Hampir tiga daripada lima responden pula memberitahu, mereka tidak akan menerima pekerjaan jika tidak diberi kontrak secara sah oleh organisasi.

Dapatan Pemantau Kerja 2023 di Malaysia ini dikeluarkan oleh Randstad – agensi bakat terbesar di dunia.

Tinjauan itu menyerlahkan sentimen dan persepsi terkini tenaga kerja terhadap pasaran pekerjaan tempatan.

Walaupun 80 peratus responden bimbang tentang bagaimana ketidaktentuan ekonomi akan memberi kesan kepada kehidupan mereka, 86 peratus mengekalkan keyakinan yang kukuh terhadap majikan untuk memberi mereka jaminan.

Fahad Naeem, Pengarah Negara di Randstad Malaysia berkata, majikan yang mengambil langkah untuk menyokong dan memahami pekerja adalah lebih berharga dan menarik kepada pencari kerja berbanding sebelum ini.

Langkah-langkah seperti menyediakan subsidi sementara untuk perbelanjaan kerja harian atau kursus celik kewangan boleh membuat perubahan besar, membolehkan pekerja membuat belanjawan secara bertanggungjawab dan mengekalkan tahap keselamatan dan kestabilan dalam kehidupan mereka.

“Dalam tinjauan itu, 65 peratus mengatakan bahawa mereka tidak akan menerima tawaran kerja baharu jika ia tidak menawarkan kenaikan gaji yang ketara,” menurut dapatan tinjauan tersebut.

Daripada menangguhkan keputusan kerjaya mereka sehingga ekonomi stabil, orang ramai secara aktif mencari pekerjaan untuk mengekalkan keupayaan mereka untuk membayar perkhidmatan penting dan meneruskan gaya hidup yang mereka inginkan.

Tiga puluh lapan peratus daripada responden pula berkata, mereka telah berhenti kerja kerana gaji yang rendah dan 34 peratus pula berfikir untuk meletakkan jawatan supaya mereka boleh mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih baik seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

Naeem berkata, majikan perlu mengambil kira bagaimana perubahan yang dibuat pada belanjawan kewangan akan memberi kesan kepada kestabilan pendapatan pekerja.

“Daripada melihat isu ini sebagai peluang untuk mengurangkan kos, syarikat harus kekal berdaya saing dalam pasaran yang diterajui oleh bakat dan menyedari bahawa harga bakat bukanlah sesuatu yang boleh diberi diskaun, terutamanya apabila kepakaran dan pengalaman mereka sangat dicari.

“Syarikat yang membina reputasi sebagai penggaji yang baik dan berdaya saing dalam tempoh ini perlu menunjukkan kekuatan kewangan mereka, merupakan kualiti yang menarik untuk pencari kerja dalam ekonomi masa kini,” katanya.

Tinjauan ini turut mendedahkan 80 peratus responden mengatakan kedudukan kewangan mereka menghalang mereka daripada bersara seawal yang mereka mahu.

Berdasarkan situasi semasa mereka, 39 peratus responden berkata,
mereka perlu bekerja melebihi umur persaraan minimum berkanun (60 tahun) di Malaysia.

Kira-kira satu daripada tiga responden (32 peratus) mengatakan mereka menangguhkan persaraan disebabkan peningkatan kos sara hidup.

Sekiranya berlaku pemberhentian pekerja, 41 peratus responden berkata bahawa mereka mahu lanjutan faedah korporat yang dibayar oleh syarikat (seperti perubatan) untuk satu tempoh masa sebagai tambahan kepada bayaran pemberhentian.

Manakala 26 peratus lagi berkata, bahawa mereka mahukan akses kepada perkhidmatan penempatan luar.

Naeem berkata, untuk menyelaraskan operasi pada masa yang tidak menentu, sesetengah syarikat mungkin mempertimbangkan untuk menstruktur semula perniagaan mereka, yang boleh melibatkan penggabungan peranan dan proses mengautomasikan.

Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak boleh dipandang ringan kerana pekerja cenderung berkongsi pengalaman mereka di platform media sosial, yang boleh mendedahkan kekurangan syarikat.

Oleh itu, adalah penting bagi syarikat mengutamakan kesejahteraan pekerja dan menyokong mereka melalui proses peralihan, sama ada mereka kekal sebagai pekerja atau tidak, tambahnya.

Tinjauan Pemantau Kerja Randstad Malaysia 2023 telah dijalankan pada Oktober 2022 melibatkan 750 responden berumur antara 18 dan 67 tahun. – MalaysiaGazette