Syaiful Rizal (tengah) dan Amirul Iskandar (dua dari kiri) melihat guru melakar lukisan bagi membentuk kemahiran mereka dalam bidang seni lukis.

KOTA BHARU – Seramai 57 guru di Kelantan menyertai Kursus Komprehensif Teknik Mudah Melukis untuk Mata Pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Wiba Prima.

Kursus ini memfokuskan pendedahan kepada guru RBT agar mahir melukis dan melakar menggunakan pendekatan Drawzania.

Antara latihan dan modul lain yang diberi penekanan ialah asas teknik mudah melukis, teknik melukis menggunakan Drawzania serta aplikasi mudah melukis RBT.

Selain itu, kursus kemahiran yang dijalankan selama dua hari ini turut berobjektif membantu guru menjadi lebih dinamik dan progresif dalam reka bentuk bagi mempertingkatkan lagi daya cipta di kalangan masyarakat.

Kursus itu melibatkan dua siri iaitu 11 hingga 12 April di Dewan Sri Tanjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, manakala pada Mei ini pula melibatkan 50 guru di Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak, Johor.

Majis perasmian kursus ini disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPN negeri, Mohd Hassany Hashim.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wiba Prima, Amirul Iskandar Mannan; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin; Pengurus Aktiviti dan Program Yayasan Wiba Prima, Abdul Mukmin Zulkifli; dan Pengasas Drawzania.com, Dr. Ruzaimi Mat Rani.

Menurut Syaiful Rizal, dianggarkan 3,600 pelajar akan mendapat manfaat melalui guru yang mengikuti kursus itu dan ia juga secara tidak langsung membantu kepada perubahan minda dan sikap ke arah membentuk generasi belia bertanggungjawab, dinamik dan mempunyai daya kepimpinan yang baik”.

Kursus itu melibatkan peruntukan hampir RM100,000 yang menjadi sebahagian daripada inisiatif YBR menerusi persiapan yang teratur, di mana setiap peserta harus mengikuti modul visualisasi yang lengkap, dibekalkan peralatan mencukupi serta mendapat khidmat tenaga pengajar profesional terlatih dan berpengalaman.

Kursus ini turut mendapat sokongan JPN Kelantan dan Johor.

“Sementara itu, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada guru bagi membantu mereka menguasai kemahiran melakar dan melukis bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran RBT dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui idea-idea baru,” katanya.

Tambah beliau, selain meningkat keupayaan guru untuk melakar dan melukis, ia turut meningkatkan daya cipta guru serta murid.

Bagi tahun 2022, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program modal insan kepada masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta melibatkan 72 program. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast