KUALA LUMPUR – Sebanyak 40,000 rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di empat negeri akan menikmati Pakej Perpaduan PPR/PA @MyKabel.

Menurut  Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, empat negeri berkenaan adalah Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Ujarnya, buat permulaan pakej berkenaan akan dilaksanakan di  16,000 rumah di PPR Kerinchi dan PA Desa Rejang, di sini.

“Kalau boleh kita harap pihak Time akan menambah ke 60,000 rumah PPR dan PA sekitar KL,” katanya ketika pelancaran pakej berkenaan di PPR Kerinchi.

Jelas beliau, pakej berkenaan ditawarkan pada harga yang murah iaitu RM69 dalam masa yang sama akan menggalakkan penghuni rumah menggunakan jalur lebar dengan sebaiknya.

“Saya galakkan warga Lembah Pandai dan PPR lain  menggunakan kemudahan ini dan manfaatkanlah internet yang lebih pantas supaya ekonomi keluarga masing-masing dapat ditingkatkan, anak-anak pula manfaatkan juga internet dan bezakan salah guna internet,” katanya.

Ujar beliau, setiap penyewa rumah PPR boleh membuat permohonan dengan syarikat pengendali iaitu Time sebelum melanggan Pakej Perpaduan tersebut.

Sementara itu, Fahmi berharap seluruh kawasan dalam negara akan mampu menerima capaian internet yang stabil.

“Walaupun purata capaian internet 4G seluruh negara pada kadar 96.2 peratus. Ada lagi kawasan berpenduduk belum ada capaian internet. Untuk memastikan semua kawasan dapat capaian internet yang sama kita perlukan persefahaman di antara syarikat telekomunikasi,” kata Fahmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast