Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Umat Islam khususnya pengguna di media sosial diingatkan supaya berhenti mempersendakan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebagai raya mengejut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebaliknya mereka perlu kembali memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Oleh kerana kuasa untuk mengisytiharkan bila mula 1 Syawal dan perayaan Aidilfitri itu terletak kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Saya nasihatkan rakan-rakan di luar sana khususnya di media sosial untuk mengambil serius perkara ini dan menyerahkan kepada pemerintah untuk menentukan.

“Saya harap sangat isu berkaitan raya terkejut, bila nak mula raya itu, itu semua serahkan kepada itu (penguasa) dan kita hentikan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Pembelajaran dan Komuniti Chow Kit, di sini, hari ini

Terdahulu beliau menyempurnakan Program Santuni Gelandangan Chow Kit dan pengedaran juadah berbuka puasa kepada rakan jalanan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Hadir sama, Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Beliau mengulas sikap segelintir netizen yang berterusan mempersendakan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sebagai raya mengejut dan mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menegaskan, dalam hal itu, umat Islam wajib kembali kepada ajaran al-Quran dan al-sunnah yang menganjurkan ketaatan kepada pemerintah selepas Allah dan Rasulnya.

“Sebagai orang Islam yang beriman, Allah berfirman, taat Allah, taat Rasul dan juga taat kepada pemerintah.

“Sebab itu pendekatan yang kita ambil dan ayat al-Quran saya bacaan itu mengaitkan isu ketaatan kepatuhan kepada pemerintah itu dengan keimanan kita.

“Sebaliknya kita tumpu kepada banyak perkara lain yang mungkin lebih baik lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.