Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh merasmikan Pakej Ubat Farmasi Rahmah di AlSyifaa Farmasi, di Kempadang, Kuantan hari ini

KUANTAN – Sebanyak 100 farmasi komuniti telah menyertai Pakej Ubat Farmasi Rahmah di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sehingga kini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata,  diskaun sehingga 50 peratus ditawarkan terhadap produk kesihatan melalui konsep farmasi komuniti tersebut.

Jelasnya Konsep Farmasi Rahmah akan diperluaskan secara berperingkat di seluruh negara kerana ia juga menawarkan pakej ubat-ubatan selain daripada produk kesihatan.

“Inisiatif ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat daripada aspek kesihatan dengan memperkenalkan pakej ubat-ubatan dengan tawaran harga yang rendah.

“Farmasi komuniti menawarkan diskaun sehingga 50 peratus dan ia diharap membantu meringankan beban kepada rakyat dalam mengutamakan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pakej Ubat Farmasi Rahmah di AlSyifaa Farmasi Kempadang Perdana, di sini hari ini.

Jelasnya terdapat kira-kira 4,700 farmasi dari seluruh negara dan daripada jumlah itu, ia membabitkan 2,000 buah farmasi komuniti.

Justeru katanya pihak kerajaan, kerajaan mengalu-alukan kira-kira 4,700 farmasi di seluruh negara menawarkan pakej ubat-ubatan.

Hadir sama, Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin dan Pengarah Urusan AlSyifaa, Abdul Aziz Jamaludin.

Menurut Fuziah, AlSyifaa Farmasi menawarkan lima pakej ubat dengan penjimatan sehingga 50 peratus daripada harga asal.

“Orang ramai wajar mengambil peluang mendapatkan pakej ini di farmasi komuniti yang menyertai inisiatif ini sebagai kit persediaan terutama musim perayaan ini,” katanya.

“Harga yang dijual antara RM5 dan RM35 antaranya pakej saringan kesihatan, ubat keluarga madani, ubat kanak-kanak kombo A dan B serta ubat dewasa di AlSyifaa Farmasi,” katanya. – MalaysiaGazette