GEORGE TOWN – Jentera Pergerakan Wanita UMNO tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan jentera Wanita Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
Kesediaan itu diutarakan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim bagi memastikan gabungan Kerajaan Perpaduan turut diadaptasi di peringkat negeri.
“Kita (wanita UMNO) sudah diberi pendedahan di peringkat pusat mengenai gabungan Kerajaan Perpaduan jadi kita akan didik ahli-ahli kita hingga ke peringkat akar umbi untuk bersama gabungan baharu ini.
“Mungkin pada mulanya agak kekok tapi saya rasa lama-kelamaan kita boleh adaptasi perkara ini.
“Cuma di Pulau Pinang saya rasa lebih mudah, InsyaAllah kita akan mula bersama-sama bergerak untuk PRN nanti tambahan pula pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menghubungi saya untuk mengadakan rundingan gerak bersama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Norliza yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bukit Gelugor menyantuni 63 kanak-kanak terdiri daripada anak yatim serta asnaf di pusat beli-belah AEON Queensbay.
Pada majlis itu, setiap seorang penerima diberikan RM200 untuk berbelanja kelengkapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Tambah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang itu, gabungan parti sebegini sudah biasa berlaku di luar negara memandangkan agak sukar untuk sesuatu parti menjadi dominan seperti dulu.
“Rakyat sudah matang dan boleh menerima kaedah gabungan politik yang baharu ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Norliza mengharapkan calon wanita diberikan lebih peluang untuk bertanding pada PRN nanti.
“Dari dahulu kita perjuangkan 30 peratus kerusi untuk wanita dan kalau boleh kita nak kerusi mampu dimenangi bukan kerusi hitam.
“Kalau kita dapat, biarlah ia kerusi yang mudah dimenangi kerana saya rasa gerak kerja golongan wanita ini sememangnya menjadi nadi kepada rakyat dan seharusnya diberi tempat bersesusian,” jelas beliau. – MalaysiaGazette