KUANTAN – Berqiyamuallail dari atas kayangan.
Begitulah pengalaman baharu 70 peserta Program Jom Qiamullail di Kuantan 188 di mana berpeluang menunaikan ibadat pada ketiggian 104 meter dari aras laut dalam misi mengejar malam Lailatul Qadar.
Imam Besar Masjid Negeri Pahang 1, Mohd Rizal Mohd Ali Nafiah berkata, program Jom Qiamullail di Kuantan 188 julung pertama diadakan di atas pelantar terbuka menara Kuantan 188.
“Program Jom Qiyamullail di Kuantan 188 diadakan dengan kerjasama Kuantan 188 dan Restoran Jepun, Noriaku bersama Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 merupakan pencetus kolaborasi bagi konsep ibadah pelancongan.
“Pengisian program bermula seawal 3 pagi dengan melakukan solat-solat sunat, disusuli sahur, solat Subuh dan sesi tazkirah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz, dan Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad.
Sementara itu, seorang peserta, Putri Anati Azhar, 31, menyifatkan peluang menunaikan ibadat dan bersahur di Kuantan 188 merupakan pengalaman menarik dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Kali pertama agak teruja sebab kita jangka cuasa agak berangin dan sejuk bila di atas, tapi alhamdulillah rupanya cuaca sangat baik untuk beribadat di ruang pelantar ini.
“Tidak mustahil untuk akan datang nanti difahamkan pihak masjid negeri akan mengadakan pengisian program ibadah lagi di sini.
“Biasa kita buat qiyamuallail di masjid atau rumah sahaja, jadi tak salah sambil kita menikmati suasana pemandangan dengan beribadat di mana tak mustahil untuk kita semua buat,” katanya.
Manakala bagi Mohd Hafizudin Tajudin, 27, berkongsi pengalaman kali pertama menjadi imam atas puncak yang tinggi mengakui ada perbezaan berbanding di kawasan masjid.
“Bila kita berada di ‘kayangan’ ini, biasa kita qiam (berdiri) atas tanah tapi bila di kayangan ini kita oleh nampak semua, secara tidak langsung kita nampak apa yang terjadi di bandar kita, tidak pernah lagi buat qiyamullail beratapkan langit.
“Ada rasa sejuk sikit tapi boleh beribadat, program ini merupakan inisiatif terbaik dan ia berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette