Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Harga tiket penerbangan domestik didakwa terlalu mahal dan menyebabkan rakyat negeri itu tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari raya.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, harga tiket penerbangan domestik mencatatkan lonjakan yang tidak masuk akal dalam bulan Ramadan tahun ini.

Misalnya, menurut beliau penerbangan AirAsian laluan sehala antara Semenanjung Malaysia dan Sabah berharga RM3,000 dan antara Sandakan dan Kinabalu dikenakan bayaran RM700.

Bung Moktar berkata, beliau telah menghubungi Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai isu tersebut tiga hari lalu.

Menteri bagaimanapun hanya memberitahu bahawa syarikat penerbangan bersetuju untuk mempertingkatkan tambahan penerbangan pada 18 hingga 20 April ini.

Beliau meminta supaya Anthony berbincang dengan syarikat penerbangan untuk menurunkan harga yang ‘tidak mencekik darah’ agar rakyat Sabah boleh pulang ke kampung dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

“Persoalan sekarang ramai penduduk rakyat Sabah di Semananjung yang hendak balik beraya di kampung halaman iaitu di Sabah, malangnya harga tiket terlalu mahal, dan tidak boleh diterima oleh otak yang waras.

“Beribu ribu ringgit, sehala sahaja ada yang RM3,000. Saya meminta Menteri pengangkutan bicaralah dengan pihak syarikat penerbangan janganlah menghisap darah rakyat.

“Rakyat Sabah bukannya semua berkemampuan, mereka hanya sekadar nak balik beraya dan berjumpa sanak saudara setahun sekali,” kata Bung Moktar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu menggesa supaya syarikat penerbangan tidak mengabil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

“Kita difahamkan mulai bulan Mei akan datang penerbangan Firefly pula yang akan beroprasi di laluan domestik Sabah.

“Siapa pun syarikat penerbangan yang melakukan operasi tolong jangan terlalu mengaut keuntungan, jangan dera rakyat sabah,” katanya melalui kenyataan di media sosial.

Untuk rekod, pada 8 April lalu Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meluluskan 527 penerbangan tambahan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jumlah tersebut adalah 43 peratus lebih banyak berbanding kapasiti tambahan yang diluluskan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Mot dalam kenyataan berkata, jumlah itu merupakan tambahan kepada 5,617 penerbangan sedia ada yang telah dijadualkan untuk beroperasi dalam Semenanjung Malaysia.

Tambahan kepada 2,149 penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta 2,033 antara Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sejak awal Mac MOT dan MAVCOM telah mengambil langkah proaktif dan mengalakkan syarikat penerbangan untuk menawarkan harga penerbangan berpatutan.-MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Sabah ada KUASA autonomy sendiri maka ujudkan levi kemasukan *RM500 dari Semenanjung* dan RM200 dari Negara Luar baru ada “AKAI”.
    BUNG nak tanya sikit boleh… Indonesia kat Semenanjung laju je balik Kampong beraya hingga kehabisan ticket… murah sangat ke tambang itu?
    Keduanya kenapa Sabahan biasa-biasa ni tidak merancang KOS SARA untuk berkerja diluar daerah?
    Kerajaan Sabah patut mendidik Sabahan itu… majukan setiap daerah

    • pembulian depan mata terang dan jelas. keuntungan diluar jangka dan rezeki sempena ramadan buat pemilik kapal.

  2. Kerajaan Sabah dulu kini dan selamanya gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda…ramai berhijrah ke KL…syarikat penerbangan pula meneguk di air keruh…asal cuti atau perayaan harga tiket melambung….inilah cara pemilik syarikat penerbangan membuncitkan perut kot….

Comments are closed.