Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana BSI Bank (Singapura), Kevin Michael Swampillai merupakan saksi pendakwaan ke-44 hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di BSI Bank (Singapura), Kevin Michael Swampillai memberitahu mahkamah bahawa agensi perbankan itu tidak pernah memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada pihak berkuasa negara itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalah guna oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kevin berkata, sudah menjadi kemestian untuk sesebuah bank memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis jabatan komersial sekiranya terdapat tanda-tanda amaran kemungkinan sesuatu akaun akan ditutup atau transaksi dihentikan.

Bagaimanapun beliau berkata, BSI Bank tidak memfailkan laporan tersebut kerana tiada isu tanda amaran dibangkitkan oleh lembaga pengarah 1MDB.

“Urus niaga 1MDB serta syarikat berkaitan menimbulkan tanda amaran kerana membabitkan individu terdedah secara politik di Malaysia.

“Selalunya kerajaan memilih bank komersial atau bank pelaburan bagi urusniaga fidusiari, bukan bank yang lebih kecil secara relatif,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

BSI Bank ialah anak syarikat milik penuh BSI Bank SA yang beribu pejabat di Switzerland menyediakan sokongan pelaburan kepada perbankan swasta dan pengurus perhubungan dengan mengurus keperluan pelanggan melalui nasihat dan penyelidikan pelaburan serta penyelesaian lain seperti struktur amanah dan penyelesaian fidusiari (dana fidusiari).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 APRIL 2023.

Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Kevin percaya bank itu memperoleh kira-kira AS$250 juta daripada 1MDB.

Namun beliau mendakwa, jumlah itu tiada kaitan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya yang mempunyai akaun dengan BSI Bank dan menyumbang kepada pendapatan bank tersebut.

Mengenai panggilan video antara Najib dan bekas Pengurusan Perhubungan Bank BSI, Yak Yew Chee yang bertanya mengenai nilai pelaburan Bridge Global Absolute Return Fund Kevin berkata:n“Najib bertanya tentang dokumentasi yang akan membuktikan nilai dana itu.

“Saya anggap Najib risau mungkin berkait dengan dana wang 1MDB,” ujarnya.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette