Morni Mamat.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 711 kes kebakaran terbuka direkodkan di Selangor sejak awal Januari sehingga 31 Mac tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, kebanyakan kejadian kebakaran itu melibatkan lokasi hutan gambut, kebun, belukar dan kawasan lalang terutama di Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Berdasarkan statistik yang diperolehi untuk tahun ini, kebakaran belukar dan lalang paling tinggi dicatatkan iaitu sebanyak 304 kes, sampah (256 kes), hutan (102 kes) manakala kebun (49 kes).

“Pada tahun 2022 pula, kebakaran sampah paling tinggi iaitu 237 kes diikuti belukar dan lalang (226 kes), hutan (77 kes) dan kebun (24 kes).

“Kawasan yang sering menjadi pemantauan kebakaran terbuka di Kuala Selangor melibatkan Sungai Karang, Sungai Dusun, sebahagian Bukit Belatar, dan Raja Musa.

“Selain itu, kawasan sering berlaku kebakaran di Kuala Langat Utara dan Kuala Langat Selatan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Pembakaran hutan secara terbuka

Tambahnya, jumlah kebakaran meningkat pada bulan Mac berikutan cuaca panas selain faktor kecuaian manusia yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa pemantauan.

Bagaimanapun Morni berkata, pihaknya telah mengenal pasti dan akan memantau beberapa kawasan titik panas berpotensi berlaku kebakaran sepanjang musim peralihan monsun ini.

Ia dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor serta beberapa agensi berkaitan.

“JBPM sentiasa bersedia apabila berlaku perubahan musim, kita sudah bersedia daripada bulan Disember tahun lalu selepas habis musim tengkujuh.

“Ia termasuklah memastikan peralatan operasi kebakaran hutan ini, berfungsi dengan baik seperti pam angkut, jentera, dan pelbagai lagi.

“Selain itu, kita juga telah membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggota bomba bagi siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kecemasan dan kebakaran sepanjang musim perayaan Aidilfitri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Morni mengingatkan orang ramai terutama peladang atau pekebun agar tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.

Beliau juga meminta masyarakat untuk segera melaporkan kepada pihak bomba mahupun agensi bertanggungjawab sekiranya berlaku kebakaran secara terbuka tanpa pemantauan.

“Kita kerap mengingatkan masyarakat terutama yang menjalankan aktiviti perladangan, kebun dan sebagainya supaya mereka ini tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Begitu juga pada mereka yang mendapat kelulusan daripada agensi terlibat perlu sentiasa memantau jika ingin melakukan pembakaran melibatkan satu ekar atau dua ekar.

“Keadaan ini dibimbangi akan merebak yang berpunca daripada tompokan kecil kebakaran sekaligus memudaratkan orang lain hingga menyebabkan berlakunya jerebu kepada negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette