KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini perlu menonjolkan bidang tujahan atau bidang kepakaran masing-masing sehingga ke peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan kekuatan 20 universiti awam dan lebih 400 IPT swasta, pendidikan tinggi Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh diketengahkan.
Beliau berkata, usaha itu bagi meningkatkan imej IPT tempatan di peringkat antarabangsa seterusnya menjadikan negara ini hab bakat dan ilmu sejagat seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagi merealisasikan hasrat itu, katanya, IPT tempatan perlu keluar dari sempadan Malaysia dan bergiat aktif menyertai acara pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa seperti seminar serta menjadi pengucaptama dalam persidangan.
Katanya, inisiatif menonjolkan tujahan IPT akan memberi kemudahan kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyarankan universiti yang berkenaan bagi tujuan membantu negara apabila diperlukan.
“Selain itu, apabila Malaysia mahu berkolaborasi dengan negara luar yang inginkan kepakaran dalam sesuatu bidang dari negara kita, mudah untuk kita mengenal pasti universiti yang terlibat.
“Sekiranya usaha ini tidak dilakukan, sukar bagi masyarakat dunia untuk mengenali Malaysia dan kemampuan negara dalam konteks pendidikan tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA selaku badan tunggal yang menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi, pihaknya sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara, namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT kita dengan menonjolkan bidang tujahan masing-masing.
Tambahnya, apabila keterlihatan IPT terus diperkasa, secara langsung atau tidak langsung masyarakat akan merujuk kepada universiti yang berkenaan ketika memerlukan bantuan, sokongan, panduan teknikal, perundingan dan kerjasama lain.
Contohnya, beliau memberitahu, ketika negara menghadapi masalah berkaitan pertanian, maka rujukan boleh dibuat kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berkepakaran dalam bidang berkenaan dan begitulah seterusnya bidang tujahan lain untuk IPT berbeza.
“Jika dilihat universiti terkemuka dunia, mereka mempunyai bidang tujahan masing-masing, misalnya Harvard University yang tersenarai antara universiti teratas dalam bidang pengurusan perniagaan menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.
“Usaha ini boleh dilaksanakan dengan mudah kerana Malaysia terkenal dengan kualiti pendidikan tinggi yang baik, justeru apabila disokong oleh bidang tujahan IPT akan memudahkan lagi kita menjayakannya,” katanya. – MalaysiaGazette