Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka. Foto MOHD ADZLAN, 17 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memantau rakyat Malaysia di Sudan dan bersedia membawa mereka pulang jika keadaan semakin berisiko.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, maklumat diterimanya pagi tadi mengesahkan negara itu masih berada dalam keadaan terkawal.

“Kita masih pantau dan daripada maklumat yang saya dapat keadaan rakyat Malaysia masih terkawal.

“Kalau ada risiko, kita akan membawa mereka pulang,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin (4 Jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Wisma Putra mengikuti rapat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan yang lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan terjamin.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, seramai 29 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Sudan, setakat ini.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi catatan laman Facebook Istana Negara hari ini juga menyarankan kerajaan bersedia membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

Dalam titahnya, Baginda menyeru seluruh rakyat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan serta menggalakkan masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat.

Konflik antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di Sudan. – MalaysiaGazette