KUALA LUMPUR – Seramai 29 rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Sudan berada dalam keadaan selamat, kata Menteri Luar Negeri (KLN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Kata beliau, Wisma Putra bersama beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikuti secara dekat perkembangan di negara itu.
“Ini bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang berada di negara itu terjamin selamat. Konflik di Sudan berlaku melibatkan dua pihak iaitu tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zambry, maklumat mereka adalah 11 pelajar, tiga Home Based Staff dan lapan ahli keluarga, masing-masing seorang bekerja dengan Petronas, UNICEF, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bekerja di World Vision dan di Hotel Lian Tian International, manakala dua lagi bekerja PPB di Wilayah Abyei.
Kata beliau, Mesyuarat Antara Agensi telah diadakan pukul 9.30 pagi semalam di Bilik Operasi Wisma Putra yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala KLN, Datuk Norman Muhamad.
“Tujuan mesyuarat untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan serta berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin semasa konflik ini.
“Mesyuarat penyelarasan ini turut melibatkan MKN, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bahagian Penyelidikan, NADMA, polis dan Petronas.
“Bilik Operasi 24 jam juga telah dilancarkan di Wisma Putra bagi memantau keadaan semasa kejadian di Sudan. Selain itu, komunikasi berkumpulan melalui aplikasi WhatsApp turut dilakukan,” katanya.
Semalam, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF yang telah menyebabkan kesusahan dan kerugian besar terhadap nyawa yang tidak bersalah.
KLN dalam kenyataan berkata, dalam semangat bulan Ramadan yang mulia, Malaysia menyeru kedua-dua pihak untuk segera menghentikan permusuhan, menahan diri sepenuhnya, mencerminkan rukun Islam keamanan dan belas kasihan.
Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Sudan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar sementara waktu.
Mereka boleh berhubung terus dengan pihak Malawakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette