MELAKA – Pembangunan Taman Mini Sigua atau taman biawak dianggarkan bernilai RM8 juta di Sungai Melaka dijangka siap tahun hadapan sebagai tarikan terbaharu pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, ia adalah penjenamaan semula daripada Taman Lanun atau ‘Pirate Park’ di Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai yang ditutup sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, kerja-kerja pemulihan taman berkenaan baharu bermula 10 peratus dan dijangka siap tahun depan untuk menyumbang kepada produk utama PPSPM, Melaka River Cruise (MRC).
“Sebenarnya nama Sigua ini kita ambil sebab kawasan paya bakau sekitarnya ada banyak biawak dan kita mahu sinonimkan nama itu dengan haiwan itu yang sudah menjadi tarikan pelancong.
“Bukanlah kita nak pamerkan biawak dalam taman tema mini itu, sebaliknya kita lengkapkannya dengan permainan seperti roda ferris, rumah terbalik, simulator helikopter dan indoor arena
yang dijangka dapat beroperasi tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penghargaan Perkhidmatan PPSPM di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Murad berkata bot pelancongan Sungai Melaka, MRC merekodkan peningkatan hampir 30 peratus pengunjung dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, bermula Januari hingga semalam, seramai 220,091 pelancong menggunakan perkhidmatan bot itu berbanding 172,364 orang tahun lalu.
“Peningkatan sebanyak 47,727 orang atau 28 peratus ini antara lain adalah ini kerana kerja-kerja keceriaan kawasan yang giat dilakukan.
“Dengan pencapaian suku tahun yang baik ini, saya berkeyakinan sasaran kedatangan pengunjung seramai 800,000 orang tahun ini dengan kutipan hasil RM26.5 juta dapat dicapai,” katanya.
Selain itu, PPSPM juga menurut beliau, elah mengatur pelbagai program dalam usaha mempromosi MRC sekali gus meningkatkan hasil PPSPM sepanjang tahun ini.
“Antaranya, pada 15 Mei ini, sempena sambutan ulang tahun PPSPM yang ke-18, kita akan melancarkan Bot Loncat-Loncatlah, Galeri PPSPM dan Buku Sungai Melaka,” katanya.
Terdahulu, majlis itu turut meraikan seramai 28 kakitangan yang telah berkhidmat antara 10 hingga 13 tahun di PPSPM yang menerima Sijil Penghargaan dan juga wang tunai sebanyak RM1,000. – MalaysiaGazette.