GOMBAK – Seorang wanita telah ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari unit rumahnya di sebuah kediaman apartmen di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian berlaku di Apartmen Kristal Heights Fasa 9, Taman Sri Gombak.
Katanya, semalam, lebih kurang pukul 3.05 petang, pihaknya telah menerima makluman tentang seorang wanita warga tempatan telah mati selepas disyaki terjatuh dari tingkat 15 apartmen tersebut.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati si mati berumur dalam lingkungan 20-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zainal, wanita itu telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Selayang dani telah dihantar ke Jabatan Pengurusan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberi kerjasama kepada polis membantu siasatan kes tersebut.- MalaysiaGazette