Aminurrahim Mohamed. Foto MUHD NA’IM 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengemukakan dua alternatif melibatkan pelbagai gred bagi permohonan penambahan jawatan kontrak di seluruh negara.

Dua alternatif itu ialah perjawatan bagi gred lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah serta perjawatan hingga kumpulan pengurusan dan profesional.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, permintaan berkenaan adalah daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar penambahan perjawatan kontrak lebih optimum kepada pelaburan kerajaan.

“Permohonan itu masih di peringkat kami (APM) kerana permohonan yang dibuat pada Februari lepas telah dipulangkan semula kepada kami untuk diberikan dua alternatif tersebut.

“Kami juga diminta untuk memberikan anggaran bajet dan keperluan sekiranya melibatkan (penambahan) peringkat gred SPM ke bawah atau hingga ke Ijazah Sarjana Muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Prihatin APM sempena Aidilfitri 2023 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Pada Februari lepas, Aminurrahim dilaporkan telah membuat permohonan agar kerajaan mempertimbangkan penambahan sebanyak 1,501 jawatan kontrak di seluruh negara bagi melengkapkan keperluan penugasan agensi berkenaan.

Sementara itu, mengenai Op Prihatin, beliau berkata, ia merupakan kesinambungan kepada Op Bantu yang dilancarkan 11 tahun lepas sebagai usaha APM untuk memberikan lebih impak kepada masyarakat dalam khidmat kemanusiaan.

“Seperti sedia maklum, kesedaran rakyat Malaysia dalam memberi bantuan sesama mereka sudah semakin meningkat dan APM melihat bahawa ia perlu diberikan satu platform agar lebih ramai yang dapat menghulurkan bantuan,” katanya.

Op Prihatin yang akan berlangsung di seluruh negara bermula hari ini (18 April) hingga 1 Mei depan akan membabitkan aktiviti rondaan dan membantu pengguna jalan raya, membantu mangsa bencana, kecemasan dan kemalangan jalan raya. – Bernama