KUALA LUMPUR – Negara menghadapi masalah kekurangan ahli filologi tulen yang mampu melaksanakan tugas mengalih aksara dari jawi ke rumi.
Masalah itu berlaku walaupun terhimpun khazanah pernaskhahan Melayu yang terdapat di Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti-universiti tempatan.
Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, usaha dan tindakan untuk mempertingkatkan jumlah pakar filologi perlu diambil segera selain mengalu-alukan tindakan pendigitalan untuk menyelamatkan naskhah yang semakin reput.
Jelas beliau, pihaknya turut menyediakan sedikit dana sebagai geran untuk pensiswazahan peringkat sarjana dan doktor falsafah sambil berharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat melahirkan ahli filologi di setiap universiti untuk membolehkan mereka mengalih-aksara naskhah atau manuskrip berkenaan.
“Di waktu yang sama, usaha dan tindakan memperkasa tulisan Jawi perlu dipertingkat. Jika tidak pandai Jawi, sudah pasti tidak pandai membaca naskhah atau manuskrip Melayu yang tersimpan di Perpustakaan Negara mahu pun di luar negara.
“Banyak sudah disarankan supaya seluruh khazanah manuskrip dan naskhah Melayu yang terdapat di Leiden, SOAS (School of Oriental and African Studies), British Library dibeli oleh kerajaan dan dibawa pulang tetapi melahirkan ramai filologis adalah lebih baik lagi supaya naskhah Jawi berkenaan dapat dialih aksarakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wisma DBP di sini semalam.
Mengulas lanjut, Hamad Kama Piah berkata, Yayasan Karyawan bersyukur kerana di dalam Belanjawan Malaysia Madani 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah
mengungkapkan peruntukan sebanyak RM20 juta diberikan kepada Institut Terjemahan Buku Negara (ITBM), DBP dan pihaknya.
Jelas beliau, ia ucapan berkenaan memperlihatkan kesungguhan Anwar untuk menyuburkan budaya iqra atau budaya membaca karya-karya klasik dan agung yang melibatkan khazanah dunia Melayu dan Islam.
“ITBM, DBP dan Yayasan Karyawan telah bermesyuarat, berbincang dan berunding mencari jalan dan tindakan agihan dana tersebut dan segala butiran akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan.
“Yayasan Karyawan amat bersyukur atas keprihatinan yang dianugerahkan kepada pemimpin kita untuk membolehkan Yayasan Karyawan menyemarakkan salah satu daripada khazanah dan warisan tamadun Melayu khasnya penerbitan karya agung Melayu.
“Beberapa tahun lalu, pihak Yayasan bercadang untuk terlibat dalam penerbitan komik dan animasi dari sumber karya agung Melayu supaya diminati dan dinikmati generasi muda negara.
“Namun, disebalik keterbatasan peruntukan, lalu hasrat kami ini masih belum dapat dipenuhi. Dalam hal sedemikian, Yayasan Karyawan berhasrat untuk mendapat peruntukan dari Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk membolehkan
hasrat kita menjadi realiti.
“Dari sudut pengoperasian pula, kami juga memohon agar pihak Kerajaan Persekutuan dapat memberikan geran tahunan sebanyak RM3 juta setahun untuk Yayasan Karyawan
mendanai kos operasi, penerbitan, geran pensiswazahan, penerbitan komik dan animasi,” katanya. – MalaysiaGazette