Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rumah Terbuka Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 yang sering diadakan pada 1 Syawal di kediaman rasmi Seri Perdana tidak akan diadakan tahun ini.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Majlis tersebut akan dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui PACU selaku penyelaras utama.

“Pelaksanaan program adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri selaku tuan rumah selain kementerian peneraju turut dilantik bagi membantu pelaksanaan program.

“Program ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat yang akan berkunjung ke majlis berkenaan.

“Menteri Besar atau Ketua Menteri juga akan dijemput selain ahli jemaah menteri persekutuan,” menurut kenyataan tersebut.

Program di Kedah diangkat sebagai program berstatus nasional dengan jumlah kehadiran pengunjung disasarkan seramai 25,000 orang.

“Sasaran di negeri-negeri lain pula adalah seramai 15,000 orang di setiap lokasi.

“Program di Kedah akan diadakan pada 29 April 2023 bertempat di Hotel Raia, Alor Setar bermula jam 10 pagi hingga 2 petang, dengan Kementerian Dalam Negeri sebagai Kementerian Peneraju, manakala, program di Kelantan akan diadakan pada 12 Mei 2023 bertempat di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula jam 7 petang hingga 10.30 malam, dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai Kementerian Peneraju,” kata kenyataan itu lagi.

Terengganu pula akan diadakan pada pada 13 Mei 2023 bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermula jam 7 petang hingga 10.30 malam, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai Kementerian Peneraju.

Terdapat tiga lagi RumahTerbuka Aidilfitri yang akan dihadiri perdana menteri dan dilaksanakan Kerajaan Negeri masing-masing iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette