Mohd Shaid meneruskan legasi perniagaan daging lembu dan kambing yang diusahakan bapanya sejak 48 tahun lalu di Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – “Dari mula perniagaan awal pagi tadi sehingga kini saya hanya minta maaf kepada pelanggan,” demikian jelas Mohd Shaid Hanipah, 31.

Menurut peniaga daging kambing dan lembu di Pasar Awam Bayan Baru itu, dia berdepan situasi tersebut selepas bekalan daging tempatan habis terjual semalam dan peniagaan hari ini tertumpu pada daging import.

Mohd Shaid.

“Tahun lepas kami terpaksa membuka perniagaan bermula jam 11 malam hingga pagi raya untuk memastikan daging 19 ekor kambing terjual.

“Jadi tahun ini kami buat persedian untuk tujuh ekor lembu dan 14 ekor kambing kerana tidak mahu tanggung risiko tahun lepas dan Alhamdulillah semuanya terjual semalam kecuali empat kepala kambing.

“Bila diumumkan raya hari Sabtu, saya ambil keputusan untuk beroperasi hari ini tapi ramai pelanggan kecewa kerana hanya terdapat bekalan daging import sahaja dan sejak dari pagi tadi hingga kini tidak putus saya mohon maaf kerana tiada bekalan daging tempatan,” kata Mohd Shaid yang meneruskan generasi perniagaan bapanya sejak 48 tahun.

Sementara itu, bagi Yusri Hashim, 50, hanya seekor lembu disembelih untuk jualan hari ini bagi mengelakkan risiko menanggung kerugian akibat raya terkejut seperti tahun lepas.

Yusri.

Jelas peniaga daging di Pekan Sungai Ara itu, dia mengambil keputusan berjaga-jaga tahun ini memandangkan terpaksa menanggung kerugian hampir RM48,000 tahun lepas.

“Selalunya tiga hari sebelum raya saya akan sediakan bekalan daging iaitu kira-kira 15 ekor lembu tapi tahun ini ia dilakukan seminggu awal termasuk menasihatkan pelanggan untuk melakukan pembelian awal.

“Jualan bagi raya tahun ini bermula sejak Jumaat lalu dan untuk semalam saja daging bagi tujuh ekor lembu terjual dalam tempoh lima jam memandangkan ramai pelanggan takut hari ini raya.

Tujuh ekor daging lembu dijual dalam tempoh lima jam semalam.

“Hari ini saya jual daging tempatan bagi seekor lembu saja dan selebihnya daging import,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini. – MalaysiaGazette