Ramai lelaki enggan berdepan hakikat bahawa orang yang menipu mereka besar kemungkinan bukan wanita, tetapi lelaki warga Afrika. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Berbanding kaum wanita, mangsa lelaki yang terjerat oleh penipuan cinta atau love scam adalah lebih sukar membuat laporan polis.

ACP Lai Lee Ching dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, disebabkan mementingkan muka dan perasaan malu, mangsa lelaki juga lebih sukar untuk mengakui diri telah ditipu.

Katanya, sesetengah lelaki juga “menghiburkan diri” dan beranggapan penipuan yang berlaku adalah “tidak apa” kerana mereka telah menikmati detik yang manis selama beberapa bulan dengan penipu wanita.

Menurutnya, ramai lelaki enggan berdepan hakikat bahawa orang yang menipu mereka besar kemungkinan bukan wanita, tetapi lelaki warga Afrika.

“Sebenarnya, lelaki juga mudah tertipu, tetapi kes yang direkodkan tidak tinggi kerana ramai daripada mereka tidak mahu mengaku hakikat telah ditipu,” katanya.

Beliau dipetik China Press sebagai berkata demikian dalam satu kempen kesedaran bersama penduduk Kepong di ibu negara untuk membincangkan isu penipuan dalam talian.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee Ching juga mendedahkan, sindiket penipuan kini merekrut warga emas khususnya dari luar bandar untuk menjadi keldai akaun.

Katanya, sindiket akan memperdaya warga emas berkenaan untuk “membuka syarikat” dengan menjanjikan pulangan RM1,000 sebulan.

“Sindiket seterusnya akan melantik mereka dengan jawatan tertentu dalam syarikat baharu dan menggunakan nama syarikat untuk membuka banyak akaun bank yang akan digunakan untuk tujuan penipuan.

“Apabila kes penipuan terbongkar, warga emas berkenaan yang menjadi pemilik syarikat dan akaun pastinya akan disiasat.

“Untuk penipu yang sebenar pula, tindakan sukar diambil kerana mereka bukan pemilik syarikat dan bukan orang yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette