KUANTAN- Hampir 6,000 anggota polis trafik di seluruh negara dengan rela hati memilih untuk bertugas sepanjang Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tidak ramai anggotanya yang memohon cuti meskipun memberi kelonggaran sebanyak 10 peratus dalam kalangan mereka untuk bercuti.
”Kita bagi 10 peratus tu, adat tapi lebih ramai yang ingin bertugas pada waktu macam ini, saya sebagai Pengarah JSPT sangat mengal-alukan dan berterima kasih kerana mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat.
”Mereka ingin bertugas kerana rasa malu dengan kawan-kawan jika duduk di rumah berbanding melihat rakan yang bertugas pada musim Ops Selamat ini,” katanya.
Jelas Mat Kasim, beliau sentiasa mengaskan bahawa penugasan Ops Selamat dijalankan hanya dua tahun sekali yang diadakan pada setiap Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Justeru pasukannya merasakan tanggungjawab perlu digalas dan terpanggil untuk terus menjaga keselamatan awam pengguna jalan raya tanpa mengira sambutan cuti perayaan.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni pasukan JSPT Pahang berbuka puasa di padang MBK1 Kuantan selepas melakukan pemantauan udara di Gua Musang dan sekitar Pahang pada semalam.
Hadir sama Ketua JSPT Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @Mohamad Daud.
Mat Kasim menasihati agar pengguna yang ingin masuk ke Kelantan dari negeri ini merancang perjalanan supaya tidak tersangkut ke dalam kesesakan.
”Orang ramai dinasihati sentiasa berhati-hati di jalan raya mematuhi undang-undang kerana kegagalan mematuhi undang-undang merupakan salah satu punca terjadi kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette