KUALA LUMPUR – Pertunjukkan muzikal sepanjang 120 meter dengan pelbagai genre muzik Hari Raya Aidilfitri tempatan dan antarabangsa menggunakan tarian air pancut di 99 Wonderland Park Wildlife in the City bermula hari ini.

Malah untuk julung kalinya, lagu Malaysia Madani juga dimainkan bagi menarik minat lebih ramai rakyat untuk menghayati konsep Madani inspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain menjadi air pancut terpanjang di Malaysia setakat ini di taman tema tersebut, pertunjukan tarian air pancut ditambah pula dengan alunan muzik tempatan sudah tentu memberi satu pengalaman mengujakan, terutama apabila beriadah bersama keluarga.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee, idea membina air pancut itu bagi meningkatkan lagi produk pelancongan di Lembah Klang.

Pengerusi Eksekutif JL99 Group, Datuk Seri Jeff B K Lee

“Saya dapat idea ini kerana tidak ada banyak tempat kita boleh pergi pada waktu malam di Kuala Lumpur. Dengan adanya air pancut berirama ini, pastinya ia memberi pengalaman baharu kepada pelancong.

“Memandangkan acara ini sentiasa mendapat perhatian dan sambutan, kita akan adakan air pancut irama bertema Hari Raya Aidilfitri bersama-sama lagu Malaysia Madani sepanjang cuti raya ini.

“Kita mula sekitar jam 8 malam dengan lima buah lagi bermula Malaysia Madani di ikuti Warna Warni Aidilfitri, Bad Romance, Wen Bie, Menjelang Raya, Assalmu Alayka (Arabic) dan banyak lagi.

“Program khas yang kita anjur ini akan berlangsung malam ini sehingga 24 April ini. Semoga semua akan terhibur, kita juga mungkin akan ubahcirama ini tertakluk kepada permintaan umum,” katanya.

Selain tarikan air pancut, pengunjung juga berpeluang memberi makan pelbagai jenis haiwan liar seperti tapir, buaya tembaga, rusa, beruang matahari dan ikan arapaima gergasi serta banyak lagi.

Pengunjung juga boleh menikmati Restoran Makanan Laut 99 yang lazat dengan aneka hidangan di situ. -MalaysiaGazette