KHARTOUM – Tekanan diplomatik sedang dipertingkatkan supaya pertempuran di Sudan yang telah mengorbankan lebih 300 orang terbunuh pada minggu lalu ditamatkan.
Tentera negara kini sedang memerangi pasukan separa tentera yang dipanggil Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat dan negara-negara lain telah mendesak gencatan senjata selama tiga hari pada perayaan Aidilfitri.
RSF bersetuju untuk gencatan senjata selama 72 jam atas dasar kemanusiaan.
Namun tiada kenyataan dikeluarkan daripada pihak tentera.
Gencatan senjata itu akan diadakan dari jam 6 pagi pada hari Jumaat, kata RSF.
Sebelum ini, dua percubaan gencatan senjata gagal berkuat kuasa.
Ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan telah menolak kemungkinan rundingan dengan RSF.
Harapan terbaru untuk gencatan senjata sementara datang selepas Setiausaha Agung PBB António Guterres merayu gencatan senjata bagi menjamin keselamatan orang awam
Gencatan senjata Aidilfitri “mesti menjadi langkah pertama dalam memberikan kelonggaran daripada pertempuran dan membuka jalan bagi gencatan senjata kekal”, kata Guterres sambil menambah gencatan ini ini amat penting.
PBB telah memberi amaran antara 10,000 dan 20,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – telah melarikan diri dari Sudan di tengah-tengah pertempuran sengit di sana, untuk mencari jaminan keselamatan di negara jiran Chad.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken juga merayu kepada pemimpin tentera yang berperang secara berasingan untuk menyertai gencatan senjata sekurang-kurangnya sehingga Ahad ini kerana bimbang ke atass risiko kepada orang awam, kakitangan kemanusiaan dan diplomatik. – Agensi