Datuk Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Penahanan dua orang pegawai imigresen di Dhaka, Bangladesh pada 17 April lalu kerana disyaki menerima rasuah merupakan hasil perkongsian maklumat strategik yang terbentuk antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, terdapat dakwaan bahawa pegawai yang bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Dhaka, Bangladesh menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.

“JIM kemudiannya telah mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan.

“Hasil maklumat itu telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan
sehingga berlaku penahanan dua pegawai tersebut,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu pejabat Imigresen Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, JIM telah menyerahkan
sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan dan menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: 2 pegawai kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan keluar visa

Dua pegawai bertugas di Bangladesh ditahan SPRM adalah pegawai Jabatan Imigresen

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan kesalahan ini.

“Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan Jabatan
ini sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak
berintegriti,” tegasnya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menerusi kenyataan mengesahkan tangkapan ke atas dua orang Pegawai Atase Imigresen Kedutaan Malaysia di Bangladesh  selepas disyaki menerima rasuah untuk mengeluarkan visa dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Kedua-dua pegawai berkenaan termasuk seorang wanita ditahan selepas mereka diarahkan pulang ke Malaysia.

Kedua-dua pegawai tersebut telah direman sejak Selasa lalu di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk membantu siasatan SPRM.

Susulan penahanan itu, lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan telah dibekukan.

Manakala lapan bidang tanah dalam siasatan kes ini yang membabitkan kira-kira RM3.1 juta telah disita. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.